Followers

Tuesday, 5 April 2011

Terima kasih kerana menampar saya..

BARU-BARU ini saya pulang ke kampung. Kebetulan adik-beradik lain pun ada bercuti sama. Emak yang selama ini tinggal seorang, gembira tidak terkata melayan cucu-cucunya. Masak lauk yang special sajalah orang tua saya itu. Malam terakhir sebelum kembali ke Kuala Lumpur, kami duduk berkumpul lagi di ruang tamu sambil menonton televisyen. Beberapa orang saudara yang tinggal tidak jauh dari rumah kami pun ada sama ketika itu. Kami bercerita kisah-kisah silam, dari satu topik ke satu topik lain. Emak ceritakan perihal arwah abah yang selalu menyuruh saya membelikannya rokok pada waktu malam. Kata emak, saya yang ketika itu berusia 7 ke 8 tahun akan merungut kerana selalunya waktu itu saya sedang menonton televisyen. Ketika itu sedang hangat cerita Six Million Dollar Man dan Combat. Tengah sedap-sedap menonton itulah abah suruh saya belikan rokoknya. Pertengahan 1970an, kampung kami belum ada elektrik lagi. Saya bergegas-gegas ke kedai dengan berbekalkan lampu picit atau pelita minyak tanah. Kedai pula jauh. Jalan gelap. Malangnya bila sampai ke rumah semula, cerita Combat sudah habis! Kami ketawa dengar cerita emak. Dan malam itu, sekali lagi emak membuatkan air mata saya bergenangan. Mulanya hanya cerita tentang rokok, kemudian emak menceritakan kenapa sampai sekarang saya tidak merokok. Ia bermula dengan kisah saya mencuri rokok abah, kemudian ditampar dan berakhir dengan kata-kata abah yang berbunyi, "kalau awak sayang, saya lagi sayang." Ya... kalau emak sayangkan saya, abah lebih sayangkan saya. Kerana itu dia menampar saya hingga bibir saya berdarah. Tanpa emak sedar, semasa dia mengungkap balik kata-kata abah, `kalau awak sayang, saya lagi sayang...' Dada saya serta-merta sebak. Air mata saya ini hanya menunggu masa saja untuk jatuh dari kelopaknya. Saya terkenangkan abah. Ketika usia saya enam tujuh tahun, saya sering melihat abah merokok. Sehari kadang-kadang tiga kotak rokok dihisapnya. Selalunya rokok Gold Leaf. Pun begitu, abah sentiasa mengingatkan kami adik-beradik supaya jangan sekali-kali merokok sepertinya. Kata abah, kalau dia tau kami merokok, dia akan tampar. Saya kecil lagi, belum mengerti sangat kata-kata abah itu. Suatu hari, saya lihat abah tertinggal rokoknya selepas membaca Surat khabar. Saya terus ambil dan menunjukkannya kepada Z, kawan saya di sebelah rumah. Z ambil mancis, kami masuk ke dalam tong dram. Dalam tong bulat itu kami nyalakan rokok tersebut dan menghisapnya. Tekak jadi pahit. Mulut terasa kelat. Kami batuk beberapa kali tersedakkan asap rokok itu. Seronok betul kami ketika itu. Rasa seperti orang tua. Saya cakap dengan Z, cepat sikit, jangan sampai orang nampak. Lagipun, kami kena hantar rokok itu cepat sebelum abah saya tahu. Kalau dia tahu, memang naya. Kami hisap dua batang rokok saja sebab pahit. Lepas itu saya terus bawa pulang kotak rokok tersebut. Sewaktu hendak meletakkan rokok berkenaan di tempat asalnya itulah saya tertangkap. Abah berdiri di depan saya dengan wajah bengis. Dan... `PAANGGG!!!' tanpa sepatah kata, seliang penampar hinggap di muka saya. Sakitnya tidak terperi. Saya menangis dan memegang bibir yang pecah berdarah. Hampir saja abah melepaskan penamparnya yang kedua, tapi tidak jadi. Tangannya yang sudah hampir benar ke pipi saya, ditarik balik. Saya meraung dan berlari ke bawah sebatang pokok bunga. Di bawah pokok yang di hadapannya ada parit kecil itu saya menangis. Saya tak suka pada abah. Abah tak patut buat saya macam ni. Tak patuttt! ! Lima minit kemudian, emak datang. Emak pegang bibir saya yang membengkak itu. Kemudian emak kesat darah yang masih mengalir. "Kenapa curi rokok abah?" emak bertanya. Saya diam. Saya terus menangis. Emak usap kepala saya dan peluk bahu saya. "Dah, berhenti nangis tu. Mari makan. Ada lauk asam pedas ikan kembung. Man suka, kan?" pujuk emak. Tapi saya tidak berganjak. Walaupun itulah lauk kegemaran saya, tapi hari itu saya tidak mahu menjamahnya. Biarlah hari ini saya berlapar, saya tidak akan makan. Saya tidak mahu lihat muka abah. Bibir saya sakit. Hati saya sakit. Saya benci abah kerana menampar saya hingga bibir saya berdarah. Abah tak sayang saya. Abah tak sayang saya!!! Saya terus menangis dan akhirnya emak masuk ke rumah selepas gagal memujuk saya. Hari itu saya tidak makan tengah hari. Saya tidak tahu apa berlaku selepas itu sampailah saya sudah bekerja dan berkeluarga, apabila emak mengimbas kembali kejadian tersebut. Emak ceritakan kepada kami adik-beradik, selepas saya enggan makan tengah hari itu, emak menangis. Emak pergi jumpa abah dan bertanya, kenapa tampar anak sampai berdarah bibir? Tak sayang anak ke? Ketika itulah abah menjawab, `kalau awak sayang, saya lagi sayang'. Abah bertanya balik, adakah emak mahu saya jadi penghisap rokok seperti abah? Bekerja di kebun pagi dan petang, tapi habiskan wang itu untuk rokok? Awak nak anak awak hisap rokok? Hisap dadah? Masuk malam ini, sudah berapa puluh kali emak ungkapkan kembali cerita itu. Tapi setiap kali emak buka cerita lama itu dan ulangi kata-kata abah, dada saya pasti saja terasa sebak. Tekak terasa sakit dan air mata serta-merta bergenangan di kelopak. Saya terkenangkan wajah abah. Saya terkenangkan kasih sayangnya. Saya jadi teramat rindu pada pelukan abah, juga senyum manisnya di penghujung usia. Abah pernah menyatakan kegembiraannya kerana tiada di antara kami tiga beradik ini yang menghisap rokok. Abah bangga dengan saya. Pada usia-usia begini, ketika sudah mempunyai anak yang mula menginjak remaja, saya mengerti mengapa abah bertindak tegas terhadap saya dulu. Abah bukan bencikan saya, tapi abah sayangkan saya. Abah tidak mahu saya melakukan sesuatu yang sia-sia. Abah tidak mahu saya jadi sepertinya. Sudah lebih 10 tahun abah pergi. Kepada orang lain, kejadian ini kecil saja. Tapi tidak saya. Saya akan kenang peristiwa itu sebagai lambang kasih bapa kepada anaknya. Terima kasih kepada abah kerana menampar saya. Dibenarkan share kepada sesiapa sahaja..
Oleh: Nik Najmi

No comments:

Post a Comment